* Published by The Reading Group, Singapore on 15 September, 2020.

Antara ulama Islam yang tidak melihat pertentangan antara akal dan wahyu ialah Ibn Rushd yang menulis Kitab al-kashf ‘an manahij al-‘adilla dan Kitab fasl al-maqal. Foto: Cordoba, Sepanyol, 02.02.14.

Di dalam wacana keislaman masakini, sering terjadi perbahasan mengenai duduk perkara akal di dalam menanggapi agama. Akal seringkali dipertembungkan dengan agama sehingga muncul tuduhan bahawa golongan yang menggunakan akal di dalam memahami agama merupakan golongan yang sesat dan terkeluar dari Islam. Perdebatan ini menyebabkan kegelisahan umum dan menjadi alasan sesuatu golongan menjadi sasaran oleh mereka yang memegang kuasa agama – semata-mata kerana menyeru kepada penggunaan akal di dalam mengevaluasi apa yang dinyatakan oleh golongan penguasa agama sebagai “Islam” itu sendiri.

Sebenarnya, yang menjadi kegelisahan umum bukannya akal tetapi penerimaan kita terhadap wahyu. Ramai yang gusar jika menerima akal bererti kita menolak wahyu. Masalah ini wujud kerana wahyu sering disalahertikan sebagai agama itu sendiri. Secara tepat, wahyu dan agama merupakan dua perkara yang berbeza. Jadi, akar kekeliruan ialah penyamaan “agama” dengan “wahyu”, yang kemudiannya diletakkan berseberangan dengan “akal”.

WAHYU BERBEZA DARI AGAMA

Secara tepat, agama bukanlah wahyu tetapi pemahaman terhadap wahyu. Wahyu adalah komunikasi Tuhan yang disampaikan kepada manusia, sama ada melalui ucapan langsung, perantaraan malaikat, mimpi mahupun petanda. Sebagai umat Islam, kita menerima kedudukan wahyu yang disampaikan kepada Nabi Muhammad. Ini merupakan akidah yang terungkap di dalam Rukun Islam.

Jadi, seorang yang mempercayai agama Islam, tidak mempersoalkan kedudukan wahyu mahupun apa yang disampaikan kepada Nabi Muhammad. Yang menjadi perdebatan ialah bagaimana kita memahami wahyu tersebut. Ini terjadi kerana umat Islam percaya bahawa setelah Nabi Muhammad, tidak akan ada lagi wahyu yang akan turun. Makanya, tugas memahami dan menjelaskan apa yang dimaksudkan oleh Tuhan terhadap wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad, terletak di atas bahu generasi pengikut sesudah Nabi wafat.

Sepanjang sejarah Islam, para pengikut Nabi Muhammad telah membina pemahaman agama yang berasaskan wahyu. Namun, kerana keragaman latar dan konteks masa, tempat dan pengetahuan, pemahaman agama ini berencam sehingga timbullah pelbagai mazhab dan aliran, sama ada di bidang teologi (kalam), fikih atau tasawuf. Kerencaman ini terjadi kerana metodologi yang berbeza-beza yang digunapakai oleh para ulama. Oleh itu, tidak menjadi persoalan ketika ada pendapat yang berseberangan dan berlawanan antara satu sama lain. Keseluruhan pendapat dan pemahaman yang muncul melalui mazhab dan aliran yang berbeza-beza inilah yang kita gelar sebagai “tradisi”. Tradisi ini jugalah yang membentuk apa yang kita sebut sebagai “agama”. Dalam pengertian lain, agama berbeza dari wahyu kerana wahyu datang langsung dari Tuhan tetapi agama adalah keseluruhan tradisi yang berencam yang berlandaskan pemahaman atau interpretasi terhadap wahyu serta metodologi yang digunapakai. Sudah tentunya, metodologi yang muncul bukanlah bersifat azali tetapi terbatas mengikut konteks masa, tempat dan pengetahuan manusia yang tidak lengkap.

Jadi, kita tidak harus gusar ketika terjadi pertentangan antara akal dan “agama” kerana yang sebenarnya terjadi adalah pertentangan antara akal dan sesuatu “pemahaman agama”. Seperti yang disebut, pemahaman agama bersifat rencam dan tidak monolitik. Apa yang perlu kita fahami ialah setiap pertentangan atau perbezaan tidak mempersoalkan kedudukan wahyu tetapi interpretasi terhadap wahyu. Di sinilah fungsi akal di dalam proses membina pemahaman agama, yakni melalui interpretasi. Makanya, keliru jika kita menyebut pertentangan atau berbezaan interpretasi sebagai pertembungan antara “akal” dengan “wahyu”.

Jelasnya, setiap aliran keislaman menerima yang wahyu datang dari Tuhan dan disampaikan kepada para nabi. Tanpa perantaraan seorang nabi, wahyu harus difahami menggunakan metodologi yang dibina dan diajukan oleh para pengikutnya. Setiap metodologi tidak lahir dengan sendiri melainkan digagaskan mengikut akal yang rasional. Jadi, agama tidak dapat lari daripada akal kerana tanpa akal, manusia tidak mempunyai alat lain untuk membina pemahaman agama; kecuali jika Tuhan berkomunikasi langsung dengan manusia. Sebagai umat Islam, kita percaya bahawa Tuhan tidak lagi mengutus nabi maka proses wahyu sudah tertutup. Apakah ada alat lain yang boleh kita gunakan untuk menginterpretasi wahyu selain akal?

AKAL JUMUD DAN AKAL AKTIF

Sekiranya setiap upaya menginterpretasikan wahyu harus menggunakan akal sebagai alat, mengapakah masih ada yang mempersoalkan akal? Jawapannya terletak kepada penerimaan kita terhadap tradisi yang dinobatkan sebagai “agama”. Seperti yang dijelaskan, ulama terdahulu membina pemahaman agama Islam mengikut kaedah yang rasional dengan menggunakan akal sebagai alat. Ambil contoh kaedah menggunakan Sunnah sebagai sumber interpretasi terhadap wahyu. Apakah kaedah ini muncul secara rambang atau sewenang-wenangnya? Tidak, kerana mengikut akal sihat, Nabi dan para Sahabat yang hidup bersama beliau lebih memahami Al-Qur’an dan oleh itu, pemahaman mereka lebih dekat kepada apa yang dimaksudkan Tuhan daripada mereka yang hidup di zaman setelah Nabi wafat. Ini adalah rasionalisasi yang menggunakan akal dan menjadi kaedah kukuh di dalam fikih. Tanpa akal, tidak mungkin kaedah ini akan muncul dan dikembangkan secara sistematik.

Jadi, masalahnya ialah apabila kita menganggap segala kaedah dan rumusan oleh para ulama terdahulu sebagai muktamad. Di sinilah terjadinya pandangan bahawa apa yang bertentangan dengan pendapat terdahulu merupakan “kesesatan” yang lari daripada agama Islam itu sendiri. Dengan itu, agama Islam dan tradisi yang mapan disamaertikan sehingga proses ijtihad tidak lagi berfungsi dan akal tidak diperlukan lagi untuk memikirulang sesuatu yang sudah ditetapkan oleh para ulama terdahulu. Inilah corak berfikir (menggunakan akal!) yang kita sebut sebagai “Tradisionalisme” (dengan huruf T besar). Yang menjadi masalah bukanlah tradisi itu sendiri tetapi menjumudkan tradisi yang ditetapkan sebagai azali dan dinobatkan sebagai “Islam” secara monolitik. Tidak hairanlah, penolakan terhadap corak pandangan begini dilabelkan sebagai penyesatan dan penolakan terhadap “Islam” itu sendiri.

Sebenarnya, apa yang terjadi ialah pertembungan antara dua orientasi atau pandangan keagamaan. Kedua-dua orientasi ini mempunyai rasional tersendiri. Jadi, kedua-duanya tetap menggunakan akal untuk menjustifikasikan pandangan masing-masing.

Golongan yang pertama, beranggapan bahawa segala yang ada di dalam tradisi itulah yang dianggap sebagai “Islam” secara lengkap dan tidak akan lagi berubah. Golongan ini sebenarnya bukan mengangkat wahyu tetapi pendapat dan pandangan ulama terdahulu, yakni interpretasi mereka terhadap wahyu. Inilah aliran Tradisionalisme.

Golongan yang kedua, beranggapan bahawa tradisi bukanlah sesuatu yang jumud dan pandangan keislaman kita boleh berubah mengikut konteks masa, tempat dan pengetahuan tanpa menggugurkan apa yang kita sebut sebagai “Islam” itu sendiri. Pandangan ini secara implisit mengandaikan tradisi boleh berubah dan tradisi baru boleh muncul mengikut keadaan dan pengetahuan baru. Namun, ini tidak bermakna setiap pendapat lama itu salah atau setiap pendapat baru itu benar. Ianya harus disandarkan kepada wahyu. Tetapi wahyu harus digali dan diinterpretasikan mengikut kaedah-kaedah ilmu yang kuat. Proses menyaring dan menggagas keilmuan yang sesuai untuk menjadi landasan interpretasi ini, memerlukan akal yang sihat. Inilah yang dilakukan oleh ulama terdahulu sebelum terjadi kejumudan dan pembekuan pemahaman keislaman. Aliran yang memegang kepada pandangan ini kita sebut sebagai Reformisme.

Sepanjang sejarah Islam setelah zaman formatif Islam, pertentangan antara Tradisionalisme dan Reformismelah yang menjadi sebab munculnya pelbagai mazhab dan aliran. Inilah yang terjadi hingga ke hari ini. Yang penting kita perhatikan ialah rasionalisasi kedua golongan yang tidak mungkin terjadi tanpa instrumen akal. Bezanya ialah golongan pertama menggunakan akal yang jumud dan beku; dan golongan kedua menggunakan akal yang terus aktif dan berkembang.

KESIMPULAN

Natijah dari perbahasan di atas dapat kita simpulkan sebagai berikut. Pertama, sama ada kita berpegang kepada pendapat lama atau baru, justifikasi kita berlandaskan akal. Kedua, proses memilih, menyadur dan merumuskan pandangan agama menggunakan kaedah-kaedah di dalam disiplin keislaman juga tidak dapat lari dari alat yang kita sebut sebagai akal. Ketiga, walaupun akal merupakan alat, kita akur bahawa alat ini boleh bersifat sihat atau tidak sihat, betul atau salah, dan kuat atau lemah. Keempat, yang menentukan kekuatan sesuatu pandangan keislaman bukan hanya terletak kepada hujah dari teks/wahyu tetapi bagaimana teks/wahyu ini diinterpretasi; dan proses interpretasi ialah proses yang menggunakan akal sebagai alat. Kelima, rumusan dari tradisi juga tertakluk kepada tahap pemikiran yang menggunakan akal dan ini tidak terlepas dari latar dan konteks masa, tempat dan pengetahuan.

Dengan lima rumusan di atas, jelaslah bahawa wahyu tetap utama tetapi wahyu dengan sendiri tanpa seorang nabi yang hidup, tidak dapat difahami kecuali dengan proses interpretasi atau penafsiran. Setiap interpretasi memerlukan kaedah atau metodologi. Kekuatan sesuatu metodologi terletak kepada rasionalisasinya. Dan sudah tentunya, rasionalisasi tidak terjadi tanpa penggunaan akal. Tanpa akal, tidak akan ada agama kerana agama itu adalah rumusan terhadap wahyu dan rumusan tersebut melalui perantaraan akal di zaman sesudah tamatnya wahyu. 

Kesimpulannya, kita tidak perlu takut pada akal dan memomokkannya sebagai antitesis terhadap wahyu. Yang diperlukan ialah penggunaan akal seluas-luasnya secara sihat dan dengan tujuan mencari kebenaran dan kebaikan yang menjadi milik Tuhan dan bukannya mana-mana kelompok mahupun individu dengan segala keterbatasannya.